Sunday, April 17, 2011

Jadi Perempuan Susah,Jadi Lelaki Payah : Part 2

Perempuan VS Lelaki

Kitalah Lelaki Itu


Ada orang mengatakan payahnya menjadi lelaki. Besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk meneruskan kehidupan. Maklumlah di zaman ini, besarlah cabaran bagi seorang lelaki yang dipenuhi dengan tribulasinya. Kita diuji dengan penglihatan yang menggoda iman, patutlah Allah menyuruh kita di dalam firmanNya yang bererti :



" Katakanlah kepada orang2 beriman laki2 agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."
( An-Nur : 30-31 )


Berapa ramai yang telah kalah di dalam menjaga pandangan dan kemaluannya ?...

Suami diuji dengan isteri, harta, anak-anak. Orang lelaki perlu bekerja mencari rezeki dan bukannya duduk goyang kaki. Orang lelaki perlu kuat pegangan agamanya, tahu menjadi imam, mempunyai daya kepimpinan, membuat keputusan yang betul. Kita tetaplah lelaki untuk meneruskan perjalanan di bumi Allah ini, tidak mudah mengalah, berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik dan memperbaiki diri. Begitulah, hidup orang yang beriman, kesusahan itu sebenarnya adalah hiburan, ujian itu menambahkan cinta kepada Allah. Kita selusuri kembali dari kacamata sirah siapakah lelaki sejati yang menjadi tauladan umat ini.

Lelaki Sejati Perlu Mencontohi Mereka

"Agungnya akhlakmu Ya Rasulullah menjadi suri tauladan sepanjang zaman". 



"Tarbiyyah dan didikanmu kepada para sahabat melahirkan Abu Bakar yang sikapnya lemah lembut tetapi tegas di dalam menjalankan hukum Allah".


"Menjadikan Saidina Umar berani di hadapan para kafir Musyrikin serta besar jasa-jasanya dalam menyebarkan dakwah Islam" 


...."dan diteruskan kegemilangannya oleh Saidina Uthman dan Saidina Ali radiyallahu 'anhum". 


Begitulah seorang dari seorang sahabat yang amat memusuhi Islam akhirnya menjadi panglima Islam yang berani sebagaimana Khalid bin Al Walid. 


"Adakah kesusahan, kesulitan menjadikan mereka cengeng dan berundur dari melaksanakan tugas sebagai hamba Allah?"

Siapakah yang tidak kenal seorang hamba yang berkulit gelap berbangsa Habsyi yang upahnya setiap hari adalah dua genggam kurma. Tetapi putih bersih hatinya, kebal imannya dari dicarik dan dirosakkan oleh ketulan batu yang menghempap dirinya. Beliaulah muazzin ar Rasul (tukang azan Rasulullah), 



Pelopor kebebasan peribadi walaupun zahirnya diikat sebagai hamba kepada Muawiyah bin Khalaf, namun jiwanya bebas hanya untuk menyembah Allah sehinggalah ia benar-benar bebas dimerdekakan oleh sahabat yang mulia hatinya iaitu Saidina Abu Bakar radiyallahu 'anhu. Lelaki sejati inilah yang berjuang di barisan hadapan di dalam siri-siri peperangan ketika bersama Rasulullah dan berjaya membunuh Umaiyah bin Khalaf semasa peperangan Badar al Kubra.





Kentalnya jiwa Urwah bin Zubair seorang ahli fiqh yang terbesar. Menurut ceritanya sebelah kakinya mendapat penyakit yang menyebabkan para doktor memutuskan ia perlu dipotong agar tidak merebak sehingga ke betis dan seluruh tubuhnya. Lalu beliau disuruh untuk meminum satu minuman yang boleh menghilangkan kewarasan akalnya supaya dia tidak merasa sakit. Lalu beliau berkata


"Aku tidak mengira, bahawa seorang yang beriman kepada Allah akan mahu minum sesuatu yang dapat menghilangkan akalnya, sehingga dia tidak mengenal dan ingat la akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini dipotong"
Lalu dipotong pada lututnya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa dan tidak mengeluh atau merintih barang sedikitpun.

Selanjutnya qadar Allah telah pun tertulis, untuk menguji iman lelaki sejati ini. Di malam hari kakinya dipotong itu terjatuh pula putera kesayangannya dari tingkat atas rumah lalu meninggal ketika itu juga. Kawan-kawannya pun datang mengucapkan takziah (menyatakan turut rasa duka cita). Urwah bin Zubair mengucapkan :



"Ya Allah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan tinggal enam orang. Kaki tanganku ada empat, lalu Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga. Kalau Engkau yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan (menyembuhkan)"
Allahu...Allah...

Tugas Kita Sebagai HambaNya


Di antara rasa susah dan payahnya menjadi perempuan dan lelaki. Maka perlu bertanya juga di dalam hati, sudahkah kita mensyukuri nikmat yang Allah telah beri selama menjadi perempuan dan lelaki? 


Wanita dan lelaki yang beriman tetaplah perlu bergandingan bantu membantu di dalam perjuangan diri, keluarga dan masyarakat ke jalan ALlah. Mengajak ke arah kebaikan, menegur kemungkaran 
bukan tugas 'seseorang'. Lupakah kita firmanNya yang bererti :




Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah at Taubah : Ayat 71)

Ya saudaraku sekalian, bukan bergandingan bahu membuat maksiat atau penzinaan tetapi bahu membahu di dalam meninggalkan larangan dan mengerjakan taat kepada Allah..

No comments:

Post a Comment

Related Post